BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 25 November 2012

Nilai Sebuah Kejayaan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Kalam ini dinukilkan dari diri seorang insan yg lemah, hanya untuk berkongsi rasa, moga ianya bermanfaat buat semua, insyaAllah..

Alhamdulillah, 25 Nov yang lalu, saya diberi peluang oleh Allah untuk meraikan kejayaan bersama ahli keluarga yang tersayang, walaupun agak tidak cukup korum kata orang.


Sepanjang berada di dalam Dewan Tuanku Agong Canselor, UiTM Shah Alam, fikiran saya terbang jauh. Bukan memikirkan jerih perih usaha saya selama 5 tahun berada di Fakulti Perubatan UiTM, namun ingatan saya kembali kepada kedua ibu bapa saya yang tersayang.

Saya terkenang, bagaimana didikan abah dan ma terhadap kami adik beradik. Sejak kecil, seingat saya, abah akan mendukung seorang demi seorang anaknya di waktu malam, lantas mengalunkan ayat-ayat suci Al Quran di telinga kami, sehingga kami terlena dalam dakapan kasih beliau. Walaupun saat itu beliau sentiasa pulang lewat dari tempat kerja dengan penuh kepenatan. Jika ada di antara kami tertidur di ruang tamu, dengan penuh kasih sayang, abahlah orangnya yang akan mengangkat kami, berjalan menuju ke bilik tidur dengan pelbagai zikir dan Kalam Agungnya yang sungguh menenangkan jiwa. Jarang sekali suara abah meninggi apatah lagi memarahi kami, namun soal Solat dan Al Quran, abah tiada kompromi..! Abah memberi ruang kepada kami untuk mempelajari nilai akhlaq Islamiyyah melalui contoh teladan, yakni keperibadian beliau yg tinggi. Beliau seorang anak yang taat kepada kedua ibu bapa yang sudah tua, seorang suami yang sentiasa berbuat baik pada isterinya, juga seorang ayah yang penyayang. 

Mama pula, Ratu hati kami sekeluarga. Tegas dalam kelembutan dirinya. Insan ini lah yang sentiasa bersama jatuh bangun setiap dari kami adik beradik. Yang tak pernah lelah menasihati kami dengan ilmu dan pengalaman beliau yang sangat berharga. Biarpun adakalanya hati beliau terluka dengan tingkah dan kata kami yang masih mentah dalam meniti perjalanan kehidupan, tidak sedikit pun menggugat cinta dan kasihnya yang menggunung. Ibarat kaunselor dalam rumahtangga, setiap kata yang keluar dari bibir beliau menenangkan hati kami seluruhnya.
Nurdianah Harif Fadzilah
 
Hazirah Harif Fadzilah
 

Muhamad Hanif Harif Fadzilah
 

Hidayatulnajiah Harif Fadzilah
 
Dan saat kami meniti kedewasaan, kedua insan inilah yang sentiasa mendoakan kami, juga memandu arah perjalanan kami agar tidak tersasar. Mereka mendidik kami dengan sabar walau lelah, dengan tenang walau terpaksa menangkis pelbagai 'kerosakan' dunia luar, dengan seyuman walau dalam kepayahan yang amat. 
 
 
Sungguh, saat saya menyedari semua itu, saya sedar, kejayaan saya, mahupun adik beradik yang lain bukanlah semata dari usaha kami yang sedikit cuma, namun ia adalah berkat dari didikan kedua insan yang teristimewa dalam hidup ini. Saat saya bersabar menahan kehendak jiwa saya, demi redha mereka berdua, saat itu saya menyedari, Allah telah merahmati seluruh perjalanan kehidupan saya dengan memberi kemudahan kepada saya, kejayaan, juga kasih sayang yang melimpah ruah dari insan sekeliling, bukan kerana diri saya yang punya pelbagai kekurangan dan kelemahan, namun kerana berkatnya didikan yang diiringi doa dari seorang ayah dan ibu..


Justeru, teman2, hargailah, taatilah, bersabarlah dan doakanlah kedua ibu bapa kita. Biar siapa pun mereka, biar di mana pun mereka berada. Pada mereka terletak syurga kita seorang anak. Juga, saya nukilkan coretan ini untuk kita merenung jauh ke dalam diri kita, saat suatu masa nanti apabila kita memikul amanah yang besar dalam memimpin sebuah keluarga, pimpinlah ia berpandu Iman. Kasih sayang yang berkekalan adalah apabila ia disulami dengan Redha Allah, yang dibajai dengan Iman yang mekar mewangi..




"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami 
agar isteri kami dan anak cucu kami menjadi penyenang hati kami 
dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa."

(AlFurqaan: 74)

 
~Berkasih Sayang di Dunia, Bertemu di Jannah..QA




 

2 comments:

dianaharif said...

Ya Allah.. satukan kami di syurgaMu kelak..

dianaharif said...

Dunia kami indah kerana punya keluarga terindah.. Anugerah mamaAbah terbaik dari Yang Maha Baik, Maha Penyayang. Moga kesyukuran kami terzahir dalam setiap ruang kehidupan...